Feb 22, 2010

Hantu Merah - novel update 2

Alhamdulillah, akhirnya tamat sudah novel sulungku yang bertajuk Hantu Merah, namun sama ada proses aku menghasilkannya telah berakhir atau tidak, itu bergantung pada sama ada Karnadya terima, suruh aku edit, atau reject terus novel ni. Tapi apa pun, proses menghasilkan novel tersebut memang semacam pengalaman berharga buat aku. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku menaip sampai berpuluh ribu perkataan. Untuk cerita tu, aku telah menulis sehingga suku daripada seratus ribu patah perkataan.

Andai Karnadya memberi peluang untuk novel ni diterbitkan, memang aku hargai dan berterima kasih sangat-sangat pada syarikat tu. Aku memang agak bangga sebab aku tulis cerita tu dengan bersungguh-sungguh, bukannya sambil lewa sahaja. Proses untuk menghasilkannya memang memenatkan. Untuk tulis cerita tu memanglah memenatkan, tetapi aku tak sangka proses menyemak dan menyunting juga memakan banyak masa dan tenaga.

Apa-apa pun, aku dah pun berusaha untuk novel ini. Pernah aku sembahyang hajat dan berdoa agar usaha aku menghasilkan novel ini akan membuahkan hasil, bukannya satu kerja yang sia-sia. Sekarang apa yang aku boleh buat adalah berdoa dan bertawakal saja kepada Allah supaya novel ini berpeluang untuk dijadikan buku dan dipasarkan di kedai-kedai buku.

Feb 17, 2010

Hantu Merah - novel update 1

Alhamdulillah, novel Hantu Merah sudah pun mencecah bab ketujuh. Kini tinggal tiga bab saja lagi untuk ditulis (mengikut perancangan aku) bersamaan dengan lebih kurang 7500 patah perkataan. Inilah cerita terpanjang yang pernah aku tulis setakat ni. Maklumlah, novel pertama. Sebelum ni, aku rajin tulis cerpen sahaja.

Kalau diminta dibaiki, aku akan baiki novel Hantu Merah. Kalau ditolak terus, aku akan cuba menghantarnya ke syarikat penerbitan lain. Sebenarnya ada beberapa bahagian dalam Hantu Merah yang ingin aku ubah tapi sekarang aku akan cuba habiskan dulu ceritanya, lepas tu barulah aku ubah mana-mana bahagian yang aku rasa aku mahu dan patut ubah.

Setiap kali menulis novel Hantu Merah, aku hanya mendengar satu album sahaja yang digabungkan dengan beberapa EP oleh satu kumpulan ni. Album tersebut adalah The Poison oleh kumpulan yang paling aku minati, Bullet For My Valentine. EP yang aku mainkan pula bila tulis novel ni adalah Hand of Blood dan 2 lagu daripada Rare Cuts.

Itu saja perkembangan Hantu Merah untuk kali ini. Ada apa-apa perkembangan terbaru nanti, aku akan poskannya di blog ini juga.

Feb 14, 2010

Siapa Farami?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semua. Salam perkenalan daripada aku. Di blog yang baru aku bangunkan ini, aku menggunakan nama Farami, gabungan nama ibuku dan ayahku. Aku dilahirkan pada 3hb Disember 1992 dan mula berimpian untuk menjadi seorang artis komik pada tahun 2000. Kemudian, aku sedar bahawa aku bukan saja berhasrat untuk menjadi artis komik, tetapi seorang storyteller.

Aku suka berangan dan berimaginasi dan aku mahu menyampaikan imaginasi aku melalui apa saja cara yang boleh. Setakat ini, aku hanya boleh menyampaikan imaginasi melalui komik dan penulisan. Walau bagaimana pun, gaya lukisan aku masih belum memuaskan hati aku sendiri. Jadi buat masa sekarang, aku cuma menyampaikan cerita aku melalui penulisan. Aku masih belum bersedia untuk menghasilkan sebarang komik. Andai kata suatu hari nanti aku berpeluang untuk menghasilkan filem sekali pun, aku akan ambil peluang itu, asalkan aku boleh menyampaikan cerita.

Memang apabila disoal oleh guru berkenaan soal cita-cita, pernah aku menyatakan bahawa aku mahu menjadi seorang pelukis dan pernah juga aku mengatakan bahawa aku ingin menjadi seorang penulis. Ini membuatkan aku menyoal diri sendiri dan berfikir bahawa aku tidak mempunyai pendirian. Namun, kemudian aku sedar bahawa hakikatnya aku cuma mahu menyampaikan cerita imaginasiku melalui apa saja cara yang boleh dan bersesuaian.

Sekarang ini, aku masih berusaha dan menanti untuk mencipta nama. Aku mahu cerita-cerita imaginasi aku dibaca oleh orang ramai dan mereka mendapat sesuatu daripada cerita-cerita tersebut. Apa dia? Entah. Mungkin kepuasan, mesej, pengajaran, pengalaman menarik, kenangan indah, dan sebagainya. Aku harap aku akan menjadi seorang yang berjaya dalam hidup (siapa tidak?).