Feb 14, 2010

Siapa Farami?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semua. Salam perkenalan daripada aku. Di blog yang baru aku bangunkan ini, aku menggunakan nama Farami, gabungan nama ibuku dan ayahku. Aku dilahirkan pada 3hb Disember 1992 dan mula berimpian untuk menjadi seorang artis komik pada tahun 2000. Kemudian, aku sedar bahawa aku bukan saja berhasrat untuk menjadi artis komik, tetapi seorang storyteller.

Aku suka berangan dan berimaginasi dan aku mahu menyampaikan imaginasi aku melalui apa saja cara yang boleh. Setakat ini, aku hanya boleh menyampaikan imaginasi melalui komik dan penulisan. Walau bagaimana pun, gaya lukisan aku masih belum memuaskan hati aku sendiri. Jadi buat masa sekarang, aku cuma menyampaikan cerita aku melalui penulisan. Aku masih belum bersedia untuk menghasilkan sebarang komik. Andai kata suatu hari nanti aku berpeluang untuk menghasilkan filem sekali pun, aku akan ambil peluang itu, asalkan aku boleh menyampaikan cerita.

Memang apabila disoal oleh guru berkenaan soal cita-cita, pernah aku menyatakan bahawa aku mahu menjadi seorang pelukis dan pernah juga aku mengatakan bahawa aku ingin menjadi seorang penulis. Ini membuatkan aku menyoal diri sendiri dan berfikir bahawa aku tidak mempunyai pendirian. Namun, kemudian aku sedar bahawa hakikatnya aku cuma mahu menyampaikan cerita imaginasiku melalui apa saja cara yang boleh dan bersesuaian.

Sekarang ini, aku masih berusaha dan menanti untuk mencipta nama. Aku mahu cerita-cerita imaginasi aku dibaca oleh orang ramai dan mereka mendapat sesuatu daripada cerita-cerita tersebut. Apa dia? Entah. Mungkin kepuasan, mesej, pengajaran, pengalaman menarik, kenangan indah, dan sebagainya. Aku harap aku akan menjadi seorang yang berjaya dalam hidup (siapa tidak?).

No comments:

Post a Comment