Aku sekarang sedang mengusahakan novel baru yang bertajuk Wirawati Mimpi. Aku telah pun siapkan bab 1 semalam atau dua tiga hari yang lepas. Aku sendiri pun tak ingat sangat. Sekarang ni, aku sedang menghadapi masalah sedikit macam mana nak mulakan atau kembangkan jalan cerita bab kedua.
Untuk novel Hantu Merah Tua (tajuk asal: Hantu Merah), aku mula menulis sinopsis dahulu sebelum aku mula menulis novel tersebut (walaupun banyak plot yang telah diubah daripada sinopsis tersebut). Tapi berbeza pula dengan novel Wirawati Mimpi, aku tak menulis sinopsis pun. Aku cuba membiarkan ceritanya berkembang dengan sendiri tanpa aku sendiri tahu penamat cerita sebelum cerita habis. Walau bagaimanapun, aku dah pun tetapkan sikit-sikit macam mana penamat cerita aku nanti dan ada beberapa plot dalam kepala aku yang aku rasa akan aku masukkan, cuma aku tidaklah tetapkan bila plot-plot tersebut akan mengambil tempat.
Aku perasan bahawa stail aku lain sikit daripada orang lain. Aku rasa penulis-penulis lain mesti akan terlebih dahulu tetapkan sifat dan perwatakan untuk watak-watak mereka. Tapi aku tidak begitu. Aku rasa seolah-olah aku sendiri pun tidak kenal watak-watak ciptaan aku. Selepas menulis beberapa bab, barulah aku rasa aku kenal watak-watak ciptaan aku sendiri. Kiranya, aku masukkan sifat dan perwatakan mereka ketika aku menulis cerita, bukan sebelum menulis. Hal ini sememangnya sesuatu yang seronok bagi aku. Seolah-olah aku berkenalan dengan watak aku sendiri dan lama-kelamaan barulah aku tahu sifat dalaman masing-masing.
Satu lagi perkara yang aku nak cakap ialah idea-idea aku biasanya datang daripada 'khayalan' dan juga 'kemahuan' aku. Contohnya, Hantu Merah Tua datang daripada khayalan aku. Aku sering terfikir bagaimana kalau ada hantu atau makhluk halus yang bertindak menggunakan kuasa ghaibnya untuk membantu manusia, bukan untuk mengganggu mereka. Kiranya gabungan adiwira + hantulah. Namun, perwatakan wira hantu dalam cerita itu diubah bagi menuruti 'kemahuan' aku. 'Kemahuan' untuk membalas dendam atau menghukum mereka yang sering menganiaya aku dan mereka yang berbangga diri apabila melakukan dosa. Untuk Wirawati Mimpi, aku mendapat idea daripada 'kemahuan'. 'Kemahuan' aku sempoi saja. Aku terfikir untuk mempunyai kekasih yang tak wujud di alam realiti, yang hanya wujud dan hadir dalam mimpi aku setiap kali aku pejam mata.
Itu sajalah yang mahu aku kongsikan buat masa sekarang ni. Nanti kalau ada lagi benda aku nak kongsi, aku poskanlah lagi ke blog kesayangan aku ni. Harapnya aku boleh mula mengusahakan bab kedua Wirawati Mimpi pada hari esok. Insya-Allah...
Apr 12, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment